PERANAN IBU MUSLIMAH
Keibuan juga bererti mengukuhkan kedudukan keluarga yang menjadi asas generasi Islam dalam lingkungan keluarga. Peranan keibuan adalah amat penting kerana ibu adalah di antara orang yang akan mencorak dan membentuk keperibadian anak-anaknya, sebagaimana maksud dalam sebuah hadis :"Tidak ada seorang yang lahir melainkan menurut fitrahnya, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Seandainya ibu-ibu muslimah tidak memainkan peranan mereka yang sebenar dalam membentuk dan memberikan pendidikan terhadap anak-anak mereka, maka kesannya akan dapat dilihat sama ada di dunia mahupun di akhirat. Amat malanglah ibu-ibu yang sudahlah di dunia mereka bersusah payah memelihara anak-anak mereka itu, di akhirat pula terpaksa dipertanggungjawabkan kerana kelalaian mereka memberikan pendidikan yang sempurna.
Seorang ibu yang beriman sudah tentu tidak suka jika dia hanya menjadi ibu sambilan sebagaimana yang banyak terjadi ketika ini. Kebanyakan ibu yang ada sekarang ini hanya menjadi seorang ibu apabila dia pulang dari tempat kerjanya. Sebahagian besar masanya dihabiskan menjalankan pekerjaannya dengan alasan membantu suami mengumpul wang untuk kebahagian mereka sekeluarga.
Alasan-alasan seumpama ini hanyalah helah untuk melarikan diri daripada tugas keibuan. Seolah-olah mereka menganggap tugas keibuan hanyalah bebanan dan penindasan yang dikenakan terhadap kaum yang tidak mahu lagi melahirkan anak dengan mengamalkan apa yang dinamakan perancang keluarga. Kononnya dikatakan melahirkan anak akan menganggu pekerjaan mereka. Kalaupun mereka inginkan anak, anak-anak itu dijaga dan diberi asuhan di pusat penjagaan anak-anak damit.
Para ibu perlulah mengetahui, anak-anak sebenarnya mengharapkan asuhan dan didikan yang sempurna dari seorang ibu. Ibu lebih rapat hubungannya dengan anak-anak daripada seorang bapa. Bagaimanakah asuhan dan didikan yang sempurna dapat diberikan sekiranya ibu-ibu sentiasa sibuk berperanan di luar urusan rumahtangga mereka ?
Para ibu hendaklah juga menyedari bahawa anak-anak merupakan generasi masyarakat akan datang. Kegagalan dan kelalaian para ibu dalam memberikan pendidikan yang sempurna akan menyebabkan masyarakat menjadi porak peranda.
Seorang ibu yang solehah ialah ibu yang mengasuh dan mendidik anak-anaknya dengan rasa keghairahan dan harapan untuk menanam dan mempertahankan konsep kehidupan Islam.
Adalah menjadi tugas seorang ibu muslimah apabila anaknya sudah pandai bertutur, mengajarkannya ucapan syahadat dan ucapan-ucapan lain yang baik-baik yang banyak dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam di dalam hadisnya.
Demikian pula apabila anak-anak sudah berumur tujuh tahun, ibu-ibu hendaklah menggesa anak-anak mereka menunaikan sembahyang. Jika dia cuai menunaikan sembahyang . Jika dia cuai menunaikan sembahyang apabila berumur 10 tahun, maka dia boleh dipukul. Bagaimanapun mendidik anak-anak mengerjakan ibadah hendaklah disertai dengan keterangan yang jelas supaya mereka mengetahui serta memahami tujuan sebenar ibadah yang mereka laksanakan.
Adalah menjadi peranan ibu-ibu muslimah untuk menceritakan kepada anak-anak mereka tentang kehebatan perjuangan tokoh-tokoh Islam di masa lalu supaya menjadi perangsang kepada mereka untuk dicontohi. Seterusnya para ibu hendaklah sentiasa peka dan mengawasi anak-anak daripada membaca buku, majalah-majalah atau menonton filem-filem yang kurang sihat kerana ini boleh mempengaruhi jiwa dan mengakibatkan gejala yang tidak baik terhadap perkembangan peribadi anak-anak.
Tanggungjawab terhadap ibu bapa.
Terdapat dua jenis tanggungjawab yang boleh dilakukan anak terhadap ibu bapa mereka kerana jika mereka berbuat ehsan kepada ibu bapa, ia membawa kepada seribu keberkatan untuk si anak yang melakukannya.
Tanggungjawab pertama ialah tanggungjawab yang boleh dilakukan ketika ibu bapa masih hidup, manakala yang kedua ialah perkara yang perlu dilakukan selepas mereka meninggal.
Jika berbuat buat baik kepada ibu bapa, ganjaran yang Allah berikan ialah panjang umur dan murah rezeki. Anak yang sebegini diredhai Allah dan dimasukkan ke dalam syurga-Nya.Selain itu, hidup mereka juga sentiasa dalam keberkatan dan peliharaan Allah serta dijauhkan daripada kesempitan hidup. Besar atau tidak ganjaran yang bakal diperoleh, ia mengatasi pahala berjihad fisabilillah.
Lebih besar daripada itu, anak yang tidak melupakan tanggungjawab kepada ibu bapa mendapat kemuliaan luar biasa dan Allah menjauhkan rasa dukacita serta kesedihan daripada hidupnya.
Tidak sekadar tanggungjawab ketika hidup, apabila ibu bapa meninggal, tanggungjawab yang perlu dilakukan lebih berat iaitu menguruskan jenazah ibu bapa bersama keluarga terdekat.
“Anak sewajarnya menerima berita kematian ibu atau bapa dengan reda dan sabar di atas qada dan qadar serta ketentuan Allah dengan mengucap ‘Inna lillaahi wa inna ilaihiraajiuun’ dan tidak meratap kematian berkenaan.
“Selepas itu segeralah menguruskan jenazah dengan memandi, mengkafan, menyembahyang dan mengebumikan dengan sempurna. Lebih afdal kalau anak berupaya membaca sendiri talkin untuk orang tua mereka.”
Selain itu, tanggungjawab lain perlu dilakukan ialah menyelesaikan hutang piutang ibu bapa dan membahagikan harta peninggalan mengikut hukum faraid yang ditetapkan supaya tidak timbul sebarang perbalahan di kalangan mereka yang berhak menerimanya.
Anak juga boleh mengqada puasa untuk ibu bapa mereka sekiranya ibadat tertangguh ketika hayatnya. Kalau berkemampuan, upah orang mengerjakan haji atau umrah bagi kedua-dua ibu bapa yang sudah meninggal itu.
No comments:
Post a Comment