Sejambak bunga yang segar jika diletakkan di atas meja untuk hiasan
tentu nampak cantik dan menarik meja itu. Orang yang memandang akan
dapat menikmati kecantikan dan kesegaran bunga yang dihias. Kerana
pandainya orang yang empunya bunga, maka akan jadi perhiasan mata ramai
dan dihargai kecantikannya.
Apa jadi kalau bunga itu dihias dalam tandas? Tentu hilanglah
kemegahannya sebagai bunga yang dipuja kecantikannya dan orang akan
mengatakan alangkah tidak siumannya atau kurang akal bagi orang yang
tidak pandai menghargai bunga secantik itu lalu diletakkan di tempat
yang sehina itu.
Wanita ibarat bunga, antara perhiasan dunia yang amat memikat lelaki. Sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W bermaksud:
"Dunia itu perhiasan dan sebaik-baik perhiasannya itu ialah
perempuan yang solehah (perempuan yang baik tentang agama, akhlak,
rumahtangga, pergaulan dan sebagainya)." - (Riwayat Muslim)
Sesuatu perhiasan yang disayangi dan mahal harganya tentulah akan
diletakkan di tempat yang terpelihara atau tersembunyi. Agar pencuri
tidak berpeluang mengambilnya. Kalaupun didedahkan di depan umum akan
diletakkan kawalan rapi agar terpelihara keselamatannya. Lebih tinggi
nilai perhiasan tadi maka makin ketatlah kawalan dibuat. makin ramailah
orang yang menghargainya dan makin sulitlah untuk
mendapatkannya.
Begitulah juga sepatutnya wanita. Allah ciptakan wanita berbeza dari
lelaki. Dari segi fizikal dan fitrah yang Allah jadikan berbeza antara
lelaki dan perempuan itu ada tujuan dan maksudnya. Tidak lain dan
tidak bukan agar terbezanya tugas antara kedua makhluk Allah itu.
Wanita Allah anugerahkan dengan sifat-sifat tertentu seperti pemalu,
lemah-lembut, penyabar, halus, kuat perasaan, mempunyai fizikal yang
lemah, pendek akalnya dan sebagainya. Semuanya itu mempunyai maksud,
iaitu untuk menyeimbangi lelaki yang Allah jadikan kuat fizikalnya,
panjang akalnya, kasar dan tegas tingkah lakunya dan sebagainya.
Dengan sifat lemah lembut dan sabar yang dimiliki oleh seorang
wanita menyebabkan ia mampu melayan ragam anak-anak; mampu berdepan
dengan suaminya dengan baik.
Halus perasaan membolehkan dia cepat memahami hasrat dan masalah
yang dialami oleh suaminya. Sifat halus menyebabkan wanita mampu
melakukan kerja-kerja remeh seperti menjahit, menyulam, memasak dan
menghias rumahtangga.
Sifat sabar membolehkan wanita melakukan kerja-kerja yang
berulang-ulang atau yang sama setiap hari seperti memasak, membasuh,
mengemas rumah dan sebagainya tanpa jemu-jemu.
Kurang akalnya wanita menyebabkan mereka suka jadi orang yang
dipimpin; lemah dari segi fizikal menyababkan mereka memerlukan pada
seorang lelaki sebagai pelindung diri.
Justeru kerana itu, Allah yang menciptakan kita, tentunya Dia Maha
Mengetahui di mana lebihnya wanita dari lelaki, untuk dimanfaatkan; dan
di mana kurangnya wanita di sisi lelaki agar kekurangan itu boleh
diisi oleh lelaki. Oleh sebab itu Allah tidak membebankan wanita dengan
tugas yang berat-berat yang mana hanya akan menyusahkan wanita dan
tidak akan ada kemampuan mereka untuk melaksanakan dua kerja dalam satu
masanya.
Sebagai bukti kasih sayang-Nya, Allah tidak bebankan wanita mencari
nafkah, tidak disuruh membanting tulang empat kerat yang lemah untuk
tujuan itu; semuanya itu tanggungjawab lelaki.
Persamaan hak di sisi Allah antara lelaki dan wanita, itulah
persamaan hak yang patut dituntut dan dijadikan impian setiap wanita.
Telah dijelaskan di dalam al-Quran bahawa Allah tidak melebihkan
seseorang dengan seseorang yang lain melainkan dari segi taqwanya.
Begitu juga Allah tidak membezakan jantina samada lelaki dan perempuan;
semuanya sama pada pandangan Allah sekiranya mereka beriman dan
bertaqwa. Firman Allah yang membawa maksud:
"Barangsiapa yang mengerjakan kebajikan, baik lelaki atau
perempuan sedangkan dia orang yang beriman maka mereka itu akan masuk
ke dalam syurga dan tidaklah mereka teraniaya sedikit pun." - (an-Nisa: 124)
"Barangsiapa yang beramal soleh lelaki mahupun perempuan
sedangkan ia beriman pula maka mereka akan masuk syurga serta mendapat
rezeki di sana dengan tiada terhingga." - (Mukmin: 40)
Tugas mengandung, bersalin, mengurus rumahtangga,melayan suami,
mengurus dan mendidik anak-anak sudah cukup berat dan susah untuk
dilakukan oleh seorang wanita yang lemah. Sehingga kerana itu Allah
mengambil kira apa yang dibuat oleh wanita itu sama pahalanya dengan
lelaki yang bergelanggang di luar rumah.
Hatta dalam hadis-hadis Rasulullah jelas menyebut wanita yang
membasuh pakaian suami dan anak-anaknya, diberi pahala; wanita yang
memasak makanan dan menghiris bawang sampai keluar air matanya juga
mendapat pahala di sisi Allah; wanita yang bangun malam kerana mengurus
anaknya seperti menyusu dan menyalin lampin dikatakan sama pahalanya
dengan lelaki yang berjihad pada jalan Allah.
Pendek kata setiap pekerjaan yang dilakukan oleh wanita di dalam
rumahtangga walaupun terlindung dari pandangan orang lain, semuanya itu
dikira dan dinilai oleh Allah. Walaupun perkara yang dibuat itu untuk
kesenangan dan keselesaan dirinya sekeluarga, dikira ibadah selagi ia
melakukan kerja-kerja itu kerana memenuhi tuntutan Allah, yakni mencari
keredhaan Allah.
Wanita itu walaupun di sisi manusia ia mungkin tidak terkenal
sebagai seorang ahli profesional yang hebat,atau sebagai tokoh politik
yang boleh menggegarkan negara atau seorang pakar dalam ekonomi dunia,
atau apa saja bidang yang dimuliakan dan dianggap istimewa oleh
manusia, tetapi di sisi Allah dia dikenal dan dimuliakan malaikat, para
roh orang-orang soleh dan wali-wali Allah, segala makhluk Allah di
darat dan di laut sentiasa mendoakan keselamatan dan keampunan
untuknya.
Sehingga kerana itu dia menjadi kecintaan para kekasih Allah di alam
malakut. Sementara di bumi nyata dia dikasihi oleh anak-anak, suami,
jiran-jiran dan kaum keluarganya kerana khidmat dan kasih sayang yang
dicurahkan pada mereka. Walaupun ia tidak memiliki ijazah yang tinggi
melangit, pangkat, nama tetapi tempat kebesaran telah pun menunggunya di
akhirat.
Itu semua dapat dicapai dengan melakukan tugas yang sudah sesuai
dengan fitrah wanita dan sudah cukup untuk menjadikan syarat wanita
diberi hak yang sama dengan lelaki di akhirat kelak.
Sebaliknya wanita kini meminta di dunia supaya mereka
disama-tarafkan dan minta diberi hak yang sama dengan lelaki di semua
bidang. Lelaki jadi menteri mereka juga mahu jadi menteri, mahu jadi
polis, tentera, hakim, jurutera, pegawai eksekutif. Atau mahu terlibat
dalam acara-acara yang dimonopoli oleh lelaki, seperti bermain bola
sepak, menunggang basikal dan sebagainya dengan alasan mereka patut
diberi kesempatan untuk membuat kerja yang lelaki buat. Kononnya mahu
jadi srikandi pejuang bangsa.
Mereka mendakwa kaum wanita juga mempu buat apa yang lelaki boleh
buat, inilah yang biasa mereka katakan (wanita boleh!) Sekiranya mereka
tidak dibenarkan terlibat di bidang yang sememangnya diperuntukkan
pada lelaki katanya mereka telah dianak-tirikan, diskriminasi
(merendah-rendahkan kaum wanita) dan bermacam-macam lagi bantahan.
Mereka tidak sedar bahawa apabila mereka meletakkan diri di bidang
yang tidak sesuai dengan fizikal dan fitrah mereka, maka terpaksalah
mengorbankan banyak perasaan kewanitaan demi untuk menyesuaikan diri
dengan tugas yang dipegang.
Hal ini adalah bertentangan dengan fitrah mereka, mengabaikan
tugas-tugas asas sebagai wanita terhadap anak-anak, suami dan
rumahtangga, seterusnya mendedahkan diri mereka kepada pergaulan bebas
antara lelaki dan wanita, mendedahkan aurat dan terdedah kepada
sifat keangkuhan, sombong dan bangga diri dengan jawatan atau kedudukan
yang mampu mereka capai.
Jadilah mereka sepertimana bunga yang diletakkan di dalam tandas
tadi. Hilanglah keindahan mereka sebagai seorang wanita. Jeleklah
mereka pada pandangan penghuni langit, sekali pun mereka boleh
beribadah seperti ibadah para Nabi. Apatah lagi kalau mereka sampai
melanggar perintah Allah, dilaknat ke atas mereka oleh setiap makhluk
Allah di darat dan di laut.
Umpamanya, seorang wanita yang jadi menteri, tentulah terpaksa
melayan rakyatnya yang terdiri dari orang lelaki dan wanita. Jadi
menteri terpaksa diiring ke sana ke mari oleh lelaki dan perempuan yang
bukan suaminya. Ataupun kalau di rumah sering didatangi oleh lelaki
yang menjadi rakyatnya dengan hajat itu ini. Kalau kahwin sama-sama
menteri tidak apa juga. Apa halnya kalau isteri menteri tetapi suami
tidak.
Tentulah tidak layak si suami hendak melayan rakyat yang hendak
jumpa menteri. Yang hendak diajak berbincang ialah isterinya, menteri
itu bukan si suami.
Ketika itu bagaimana perasaan si suami melihat isterinya berbincang
dengan lelaki lain di rumahnya, kadang-kadang dari malam sampai ke
pagi. Sedangkan dia terpaksa buat air dan jaga anak sebab isteri sedang
berurusan. Ataupun kalau anak dan air diuruskan oleh orang gaji, tentu
rakyat yang datang tadi tidak mahu mendengar buah fikiran atau
keputusan yang dibuat oleh si suami yang bukan menteri. Tentu keputusan
dan pandangan isterinya yang lebih diharapkan dan didengar.
Begitulah hina dan malangnya lelaki atau suami yang gagal meletakkan
wanita di tempat yang sepatutnya. Sebaliknya berbahagialah lelaki atau
suami yang pandai meletakkan wanita di tempatnya. Rasulullah S.A.W
bersabda:
"Tidaklah yang memuliakan wanita, kecuali orang-orang yang
mulia, dan tidaklah menghinakan wanita kecuali orang-orang yang hina."
Oleh itu sekiranya seorang wanita hendak menuntut hak yang sama di
sisi Allah dengan lelaki, ia mestilah melakukan tugas yang sesuai
dengan fizikal dan fitrah kejadian wanita. Yakni tugas yang tidak
memerlukan dia setaraf dengan lelaki. Dan tentulah dalam melaksanakan
tugas yang sesuai dengan fizikal dan fitrahnya itu syariat lahirnya
juga dapat dijaga.
Ibadah-ibadah asasnya seperti sembahyang dan puasa dikerjakan
sungguh-sungguh. Ibu bapa ataupun suami ditaati dan maruah diri
dipelihara dari tercemar. Maka wanita itu akan dimuliakan dan diberi
pangkat yang tinggi di sisi Allah seperti mana hadis Rasulullah yang
menyebut seorang wanita solehah lebih baik dari seribu lelaki yang tidak
soleh.
Marilah kita berusaha untuk merebut pangkat dan kemuliaan di
akhirat. Kerana pangkat dan kemuliaan akhirat itulah yang boleh
dibanggakan dan boleh memberi kebahagiaan yang berkekalan. Sedangkan
pangkat dan kemuliaan dunia sudah banyak melalaikan dan membuat manusia
lupa pada Tuhan, menjadikan mereka akan dibangkitkan hina dina di
akhirat kelak. Azab neraka yang dahsyat akan menunggu-nunggu untuk
memamah tubuh-tubuh mereka yang berdosa dan angkuh dengan kebolehan
diri.
Itulah sebenarnya yang mereka perjuangkan di dunia dulu yakni syurga
dunia tetapi api neraka di akhirat. Rugilah perjuangan yang begitu.

No comments:
Post a Comment